Thursday, December 30, 2010

...2010 Dalam kenangan...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh


Baki berapa jam lagi untuk kita meninggalkan tahun 2010 yang mencatatkan pelbagai kenangan suka duka yang dilalui sepanjang setahun yang lalu, banyak coretan yang tak mungkin dilupai sepanjang hidup sehingga ke hari ini, dan yang pentingnya segala kenangan pahit maung, suka gembira itu akan menjadi pedoman dan bekal untuk kita terus mengarungi kehidupan yang entah bila akhirnya.

Alhamdullillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana kita masih terpilih untuk terus hidup di tahun 2010 dan kita juga teruslah berdoa supaya terus diberi kesempatan untuk menjalani hidup di tahun 2011 nanti dan pada kesempatan yang bakal dilalui nanti kita penuhkan dengan pengabdian kita kepada Allah SWT sebagai hambanya disamping mencari perubahan yang lebih baik untuk kehidupan sementara dimuka bumi Allah ini.

Kenangan dalam hidup dbSik yang dilalui sepanjang 2010 teramatlah banyak, segalanya hanya untuk mendewasakan kehidupan sendiri, dugaan dan cubaan sering saja ditempuhi, ada yang gagal dan ada juga yang berjaya dilalui. Pengalaman bergelar BAPA pada tanggal 13 Mac 2010 yang lalu amat bermakna dan hanya kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan dan dengan iltizam yang jitu untuk terus memikul tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Hidup berumahtangga juga memberi erti untuk menjadikan diri sebagai insan kurniaan Illahi berfikir dan menilai pada kebaikan dan kemungkaran.

Akhir sekali, di kesempatan ini dbSik ingin mengucapkan terima kasih kepada yang pernah meluangkan masa dan sudi menjenguk catatan-catatan di paparan dbSik.blogspot.com. Hanya kemaafan yang dbSik mohonkan sekiranya terdapat hal-hal yang mengganggu fikiran dan dbSik juga mengucapkan Selamat Tinggal kepada tahun 2010 dan dengan harapan mudahan kenangan yang lepas tidak akan berlalu begitu saja selain menjadikan ia sebagai panduan untuk hari-hari mendatang.

Sekian, Selamat Tahun Baru 2011

Monday, November 15, 2010

LABBAIKALLAH HUMMALABAI

assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh

sempena menyambut hari raya iduladha pada tahun ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada seluruh umat muslimin walau dimana jua berada. jadikan semangat KORBAN itu sebagai sandaran untuk meneruskan liku-liku kehidupan di muka bumi Allah ini.

tahniah kepada yang turut mengadakan korban dan mudahan korban anda mendapat berkat dari Allah SWT jua hendaknya dan kepada yang tidak berkesempatan, andai diberi umur yang panjang, rezeki yang murah, tahun depan masih ada.

bersempena dengan hari raya korban ini juga, saya memohon kemaafan kepada semua yang megenali diri ini, ampun dan maaf atas semua kesalahan yang disengajakan atau pun tidak disengajakan, yang menyakiti dan sebagainya. mudahan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

SELMAT HARI RAYA AIDILADHA

Wednesday, November 10, 2010

AL FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM PAK DATOK @ DATOK SIA

dua minggu lepas aku dikhabarkan dengan satu lagi kematian salah seorang rakan seperjuangan ku, Sahak Sia, atau lebih dikenali dengan Pak Datok Sia (kampong asal sebelah kampung Batu Seketol), malangnya aku masa tu tak ada di kampung, tak salah aku masa tu aku di Kuala Lumpur. kepada yang merasai ketiadaan aku dihari kematian arwah Pak Datok, seribu kemaafan ku pohonkan kerana ketiadaan ku itu bukan aku sengajakan, andai kata aku di kampung insyalAllah aku akan sampai ke perkarangan rumah allahyarham...

itu semua tak penting, yang pentingnya hidup ini akan ada kesudahannya, hari berlalu berganti hari, hidup ini perlu ada perubahannya, bukan kearah yang membinasakan tapi sebaliknya...

alhamdulillah aku dikhabarkan juga pada hari kematian arwah Pak Datok, ramai sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan yang hadir menziarahi, mengucapkan takzian, menghadiahkan doa, memaafhalalkan segalanya, mudahan rohnya ditempatkan bersama golongan insan-insan pilihan Allah...

Al Fatihah kepada rohnya

Wednesday, October 27, 2010

HIDUP OH HIDUP

alhamdulillah, ku panjatkan kesyukuran kepada Pencipta Yang Maha Esa, kerna masih diberi kesempatan untuk meneruskan hidup di muka bumi-Nya. tapi kesyukuran yang sering ku ucapkan masih belum memadai dengan apa yang dituntut oleh baginda Rasullullah SAW. mudahan aku diberkati Allah SWT.

ARIF HAMIZAN - anak kesayangan ku, anugerah Allah kepada aku dan isteri, dah pun berusia 7 bulan, sudah boleh merangkak, merengek bila ditinggalkan, setiap apa yang dipelajarinya membuatkan aku gembira tak terkira, mungkihkah aku juga begitu semasa aku seusianya.

akhir-akhir kini aku sering meninggalkannya bersama ibunya, kerna ada saja urusan luar yang aku perlu hadiri, kadang kala ku rasa rindu memuncak kerna sering berjauhan, tapi aku terpaksa juga untuk mencari rezeki untuk aku, dia dan keluarga.

entah kenapa aku tetiba mengingati dia...

aku rindu rupanya pada dia

Tuesday, September 28, 2010

Sila ooo Silaaaaa

Jemputan Ke Majlis Aidilfitri dan Himpunan Anak Anak Sik Di Perantauan di Sentul, Kuala Lumpur. Pakat jemput ramai lagi dan pakat pi bagi ramai,  klik kat link bawah ni untuk keterangan lanjut, jemput sapa saja...

http://www.facebook.com/event.php?eid=126751307375392

Tuesday, August 17, 2010

...bila hati dah tak suka...

sebelum kenal facebook dulu, ada la hasrat nak kenal walau pu sejak azali aku ni memang bukan jenis yang suka pada laman sosial yang seumpama itu, tapi bila dah kenal mula seronok dengan facebook, cari kawan, cari lawan dan macam macam lagi yang aku buat dengannya...

sekarang ni aku dah jadi bosan la pulak dengan facebook ni, entah kenapa kadang tu rasa macam saja nak buat buat cerita pun ada, padahal aku bukan jenis yang macam tu, pernah jugak sekali rasa macam dah tak nak layan dah si facebook ni, menyampah sangat tetiba ja ada pula urusan kerja yang sememangnya memerlukan aku menggunakan facebook, tu lah sampai sekarang pun aku masih lagi ber facebook...

Monday, August 9, 2010

Ramadhan Oh Ramadhan

...setelah setahun meninggalkan kita, alhamdulillah kali ini RAMADHAN 1431 HIJRAH kembali untuk memberikan peluang, manafaat dan kebaikan yang tidak terhingga kepada setiap insan di muka bumi Allah SWT ini...

Syukur ku panjangkan kepada Yang Maha Esa kerana aku masih lagi diberi kesempatan untuk aku melalui Ramadhan di tahun ini. Lebih bermakna kerana tahun ini aku akan menjalani ibadah puasa bersama ahli keluarga yang baru - ARIF HAMIZAN, mudahan ianya memberikan kekuatan untuk aku dalam menguruskan segala urusan harian ku. Begitu juga tahun ini aku masih lagi berkesempatan untuk menjalani ibadah ramadhan bersama kedua orang tua ku yang tersangatlah aku sayangi.

Ramadhan kali ini amat penting buat hidup ku, Ramadhan kali ini telah ku jadikan sebagai permulaan untuk ku dalam merencanakan kehidupan baru bersama keluarga ku. Mudahan keberkatan Ramadhan ini akan membuahkan hasilnya. Doa ku pada Yang Maha Kuasa tidak pernah putus-putus. Ku harapkan permulaan yang baik ini akan berkekalan hingga tiupan nafas ku yang terakhir.

Kebelakangan ini perasaan ku seringkali terganggu dengan pelbagai tekanan yang datang kiri dan kanan, depan dan belakang, sehingga ku rasakan segala yang aku korbankan sia-sia belaka. Aku masih lagi berusaha untuk mengatasi segala tekanan, kepada Allah SWT tempat ku mengadu, ku mohon pertolongan, hidayah dan kekuatan... alhamdulillah, ku ketemui apa yang ku hajati, aku semakin kuat untuk perjalanan yang tidak ku tahu entah bilakan akhirnya. Cuma yang ku harapkan, sokongan tidak berbelah bagi terhadap diri ku berterusan dan bukannya ujian dan dugaan yang seringkali menggugat tahap kesabaran dan keimanan ku.

Ramadhan Ya Ramadhan, bulan yang dipenuhi kemuliaan, ku harapkan aku dan keluarga ku mendapat kemuliaan yang Kau janjikan. berikan aku kekuatan untuk perubahan ini Ya Rahman...

Friday, June 18, 2010

Jumaat - 18hb Jun 2010

...dah lama tak menulis di dbSik ni, macam macam lah alasan yang boleh diberi, walau apa pun, hakikatnya diri ini yang sukar untuk berpisah dengan sikap kemalasan...

...3 bulan sudah berlalu, anak ku Arif Hamizan dilahirkan kedunia dan dah besar pun.. sedar atau tidak aku kini sudah pun bergelar 'AYAH' dan aku punya tambahan tanggungjawab.. sememangnya aku suka dan gembira serta bersyukur kepada Allah SWT kerana telah mengurnikan kepada ku zuriat yang sihat, comel dan mengembirakan seluruh hidur aku dan keluarga ku. setelah setahun lebih usia perkahwinan ku, baru ku tahu betapa susah dan payahnya ingin menjadi suami serta lelaki yang bertanggangjawab, bukan semudah bagai melafazkan kata kata di hujung bibir, tetapi aku bersyukur kerana aku masih bisa mengatasinya dengan berbekalkan iman yang ada...

...dulu sering saja aku gunakan bahasa "Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul",tapi kini aku tahu apa ertinya kata kata itu...

...aku rindu pada anak ku Arif Hamizan... sudah dua hari keningnya tidak ku cium... aku tetap mendoakan agar kesihatannya baik dan dilindungi oleh Allah SWT...

Tuesday, January 26, 2010

Akhirnya Suatu Kehidupan

Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Begitulah lumrahnya hidup ini. Setelah kematian Allahyarham Pak Njang Bakar dan Pak Ngah Che Rus yang lalu, Beris Jaya kehilangan pula Pak Long Medah dari sektor Kampung Sungai Batang. Belum pun habis kesedihan itu, Beris Jaya terus menerima khabar kematian apabila Pak Su Samah yang juga dari sektor Kampung Sungai Batang pula dijemput Illahi.

Januari 2010 ini sehingga ke hari ini Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Beris Jaya sudah menerima 4 penghuni baru. Begitulah lumrahnya hidup ini.

Apa pun, sebagai sesama agama, kita sedekahkan lah Al Fatihah buat mereka mereka yang telah kembali kerahmatullah dan buat keluarga Pak Long Medah dan Pak Su Bakar, dbSik dan rakan rakan lain mengucapkan takziah dan hadapilah keadaan ini dengan penuh keredaan kepada Allah SWT.

Wednesday, January 13, 2010

db



db merupakan tanda pengenalan kepada Shukri Haji Harun membawa maksud sebagai di Beris atau di Bandar Baru Beris Jaya. Harap nya tiada masalah dengan penggunaan nama ini.

Tuesday, January 12, 2010

BANDAR BARU BERIS JAYA



Contoh rumah yang terdapat di Bandar Baru Beris Jaya yang didirikan oleh pihak kerajaan sebagai rumah ganti setelah rumah sediada terlibat dengan projek pembinaan Empangan Beris di daerah Sik, Kedah. 600 unit semuanya. Bertuahkan???

KENANGAN DI MUSIM LALU

AL FATIHAH BUAT PAK NGAH CHE RUS

Tanggal 6 Januari 2010, jam lebih kurang 3.55 petang Kampung Kuala Sungai Batang dikejutkan lagi dengan khabar sedih pemergian Pak Ngah Che Rus ke rahmatullah hanya beberapa hari setelah selesai majlis tahlil untuk arwah Pak Njang Bakar.

Pak Ngah Che Rus menderita angin ahmar selama lebih 16 tahun dan hanya berehat dirumah dan dibantu oleh isteri dan anak-anak beliau. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk merawat allahyarham ketika hayatnya. Namun, takdir Allah siapa yang tahu...

Apa pun yang berlaku... seperti biasanya dbSik dan rakan-rakan G8 merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Pak Ngah Che Rus dan didoakan mudah-mudahan roh beliau ditempatkan bersama mereka-mereka yang beriman dan diterima Allah hendaknya.

Al Fatihah


Nota : BIASANYA KALAU KEMATIAN PERTAMA BERLAKU KAT BERIS JAYA NI, DIA AKAN BERTURUT-TURUT, TU BIASANYA, BUKAN SEMESTINYA BERLAKU KALAU BUKAN KEHENDAK YANG MAHA ESA. BERSEDIALAH UNTUK SATU KEMATIAN YANG PASTI...

Wednesday, January 6, 2010

ANAK KU YANG PERTAMA

Menanti kelahiran anak yang pertama merupakan suatu pengalaman yang sangat menarik dan mendebarkan kepada semua pasangan suami isteri. Apabila si isteri sedang sarat mengandung di penghujung kandungan, ianya membuatkan si suami tak senang duduk. Kekalutan untuk menyediakan kelengkapan menyambut kelahiran makin terasa. Siang dan malam asyik berfikir. Membayangkan keseronokan mempunyai cahaya mata. Adakalanya si suami bermasam muka dengan si isteri gara-gara perbicangan untuk mencari nama kepada cahaya mata mereka. Melucukan...

Yang pentingnya, dalam apa jua pengalaman yang dilalui, kita sebagai hamba Allah yang serba kekurangan ini harus lah senantiasa memohon kepada-Nya mudah-mudahan hubungan sebagai suami isteri berkekalan hingga ke akhir hayat, hidup yang diberkati, dimurahkan rezeki, dikurnikan zuriat yang sihat, comel, bijaksana.

Kalau pun pasangan suami isteri yang mempunyai anak-anak, tetapi hubungan si suami dan si isteri tidak ketentuan dan sehaluan, apa gunanya keluarga yang begitu. Dalam mencari kebahagian keluarga ini, tolak ansur dan kesabaran menjadi kunci nya. Mencari kekurangan pasangan itu dalah sesuatu yang paling tidak perlu. Tetapi mencari kekurangan diri itu dapat mambantu diri untuk berubah.

***Peringatan untuk diri ku sendiri

Monday, January 4, 2010

AL FATIHAH BUAT PAK NJANG BAKAR

Bagi masyarakat Kampung Kuala Sungai Batang yang kini menetap di Bandar Baru Beris Jaya, Sik - Kedah, permulaan tahun baru 2010 kali ini diselubungi kesedihan apabila diberitakan rakan-rakan terdekat pada tanggal 1 Januari 2010 Pak Njang Bakar telah pun cukup rukun atau dengan kata lain, telah kembali ke rahmatullah.

Allahyarham yang lebih disenangi dengan panggilan Pak Njang Bakar menghembuskan nafas terakhir pada tengah malam 1 Januari 2010 kerana sakit tua. Beliau yang telah pun berusia lebih 80 tahun terlalu banyak berjasa kepada masyarakat kampung ketika penduduk Beris Jaya masih tinggal di Kampung Kuala lagi. Beliau merupakan diantara orang-orang penting dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong kenduri kahwin dan sebagainya.

Seluruh sanak saudara dan rakan-rakan serta masyarakat setempat merasakan pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan dalam masyarakat di sini. Namun begitu, pengganti kepada beliau tetap meneruskan tradisi allahyarham sepertimana ketika beliau masih bergiat dalam masyarakat. Anakanda beliau yang dikenali sebagai Bang Mat mengambil alih tugas allahyarham dan Bang Mat juga tidak tumpah seperti bapanya kerana sifat rajin dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan aktiviti bergotong royong.

dbSik dan seluruh masyarakat Kampung Kuala (Beris Jaya) termasuk Bang Yas, Bang Wang, Hamdan, Bang Ad, Pak Long Dolah, Pak Su Li... mengucapkan takziah kepada semua kaum keluarga allahyarham dan sesungguhnya yang pergi tak kan kembali dan kita yang masih hidup harus mencari bekal sebelum kita pula dijemput Illahi...

Al Fatihah buat allahyarham Pak Njang Bakar.


p/s : Majlis bacaan tahlil selama 3 malam diadakan dirumah allahyarham.

Sunday, January 3, 2010

PERLETAKAN JAWATAN AJK PEMUDA UMNO BAHAGIAN SIK

Salam untuk semua.

Saya telah pun mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sik serta semua jawatan-jawatan yang dilantik. Selain itu, pengumuman tersebut juga mengambil kira perletakan jawatan saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Kampung Kuala Sungai Batang.

Perletakan semua jawatan tersebut adalah disebabkan wujudnya kesangsian dan beza pandangan di antara saya dengan kepimpinan pemuda bahagian. Terdapat keputusan-keputusan yang dibuat terlalu tidak menyenangkan hati saya dan secara logiknya, ia juga tidak dapat diterima oleh pihak lain.

Walau bagaimana pun, saya masih dengan keahlian kepada parti dan saya bukan keluar dari parti. Saya akan cuba membantu parti biarpun saya tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kerana tindakan pengunduran saya ini kepada semua pihak termasuk lah kepada perwakilan pemuda cawangan yang telah memberi sokongan kepada saya dengan memberi undi sehingga saya menang pada pemilihan Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Sik yang lalu.

Terima Kasih untuk semuanya.

SELAMAT TAHUN BARU ~ 2010

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Selamat Tahun Baru sebagai ucapan sulung walau pun sudah 3 hari kita berada di tahun 2010 ini. 2009 baru saja meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan suka dan duka. Adalah diharapkan dengan azam dan tekad yang baru serta berbekalkan pengalaman yang lalu, tahun baru 2010 ini akan mengubah kehidupan kita agar lebih baik dari apa yang kita ada hari ini.

Sempena tahun baru ini juga, blog dbSik ini diwujudkan sebagai memenuhi keperluan semasa sepertimana yang diinginkan oleh masyarakat hari ini. Walaupun dbSik ini tidak mempunyai pengalaman dalam arena blog seperti ini, dbSik akan cuba menyesuaikan diri seperti blogger yang lainnya.

dbSik juga mengalu-alukan sesiapa saja supaya dapat membantu dbSik dalam mengharungi pengalaman berblog ini.

Sekian, terima kasih.