Tuesday, January 26, 2010

Akhirnya Suatu Kehidupan

Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Begitulah lumrahnya hidup ini. Setelah kematian Allahyarham Pak Njang Bakar dan Pak Ngah Che Rus yang lalu, Beris Jaya kehilangan pula Pak Long Medah dari sektor Kampung Sungai Batang. Belum pun habis kesedihan itu, Beris Jaya terus menerima khabar kematian apabila Pak Su Samah yang juga dari sektor Kampung Sungai Batang pula dijemput Illahi.

Januari 2010 ini sehingga ke hari ini Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Beris Jaya sudah menerima 4 penghuni baru. Begitulah lumrahnya hidup ini.

Apa pun, sebagai sesama agama, kita sedekahkan lah Al Fatihah buat mereka mereka yang telah kembali kerahmatullah dan buat keluarga Pak Long Medah dan Pak Su Bakar, dbSik dan rakan rakan lain mengucapkan takziah dan hadapilah keadaan ini dengan penuh keredaan kepada Allah SWT.

Wednesday, January 13, 2010

db



db merupakan tanda pengenalan kepada Shukri Haji Harun membawa maksud sebagai di Beris atau di Bandar Baru Beris Jaya. Harap nya tiada masalah dengan penggunaan nama ini.

Tuesday, January 12, 2010

BANDAR BARU BERIS JAYA



Contoh rumah yang terdapat di Bandar Baru Beris Jaya yang didirikan oleh pihak kerajaan sebagai rumah ganti setelah rumah sediada terlibat dengan projek pembinaan Empangan Beris di daerah Sik, Kedah. 600 unit semuanya. Bertuahkan???

KENANGAN DI MUSIM LALU

AL FATIHAH BUAT PAK NGAH CHE RUS

Tanggal 6 Januari 2010, jam lebih kurang 3.55 petang Kampung Kuala Sungai Batang dikejutkan lagi dengan khabar sedih pemergian Pak Ngah Che Rus ke rahmatullah hanya beberapa hari setelah selesai majlis tahlil untuk arwah Pak Njang Bakar.

Pak Ngah Che Rus menderita angin ahmar selama lebih 16 tahun dan hanya berehat dirumah dan dibantu oleh isteri dan anak-anak beliau. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk merawat allahyarham ketika hayatnya. Namun, takdir Allah siapa yang tahu...

Apa pun yang berlaku... seperti biasanya dbSik dan rakan-rakan G8 merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Pak Ngah Che Rus dan didoakan mudah-mudahan roh beliau ditempatkan bersama mereka-mereka yang beriman dan diterima Allah hendaknya.

Al Fatihah


Nota : BIASANYA KALAU KEMATIAN PERTAMA BERLAKU KAT BERIS JAYA NI, DIA AKAN BERTURUT-TURUT, TU BIASANYA, BUKAN SEMESTINYA BERLAKU KALAU BUKAN KEHENDAK YANG MAHA ESA. BERSEDIALAH UNTUK SATU KEMATIAN YANG PASTI...

Wednesday, January 6, 2010

ANAK KU YANG PERTAMA

Menanti kelahiran anak yang pertama merupakan suatu pengalaman yang sangat menarik dan mendebarkan kepada semua pasangan suami isteri. Apabila si isteri sedang sarat mengandung di penghujung kandungan, ianya membuatkan si suami tak senang duduk. Kekalutan untuk menyediakan kelengkapan menyambut kelahiran makin terasa. Siang dan malam asyik berfikir. Membayangkan keseronokan mempunyai cahaya mata. Adakalanya si suami bermasam muka dengan si isteri gara-gara perbicangan untuk mencari nama kepada cahaya mata mereka. Melucukan...

Yang pentingnya, dalam apa jua pengalaman yang dilalui, kita sebagai hamba Allah yang serba kekurangan ini harus lah senantiasa memohon kepada-Nya mudah-mudahan hubungan sebagai suami isteri berkekalan hingga ke akhir hayat, hidup yang diberkati, dimurahkan rezeki, dikurnikan zuriat yang sihat, comel, bijaksana.

Kalau pun pasangan suami isteri yang mempunyai anak-anak, tetapi hubungan si suami dan si isteri tidak ketentuan dan sehaluan, apa gunanya keluarga yang begitu. Dalam mencari kebahagian keluarga ini, tolak ansur dan kesabaran menjadi kunci nya. Mencari kekurangan pasangan itu dalah sesuatu yang paling tidak perlu. Tetapi mencari kekurangan diri itu dapat mambantu diri untuk berubah.

***Peringatan untuk diri ku sendiri

Monday, January 4, 2010

AL FATIHAH BUAT PAK NJANG BAKAR

Bagi masyarakat Kampung Kuala Sungai Batang yang kini menetap di Bandar Baru Beris Jaya, Sik - Kedah, permulaan tahun baru 2010 kali ini diselubungi kesedihan apabila diberitakan rakan-rakan terdekat pada tanggal 1 Januari 2010 Pak Njang Bakar telah pun cukup rukun atau dengan kata lain, telah kembali ke rahmatullah.

Allahyarham yang lebih disenangi dengan panggilan Pak Njang Bakar menghembuskan nafas terakhir pada tengah malam 1 Januari 2010 kerana sakit tua. Beliau yang telah pun berusia lebih 80 tahun terlalu banyak berjasa kepada masyarakat kampung ketika penduduk Beris Jaya masih tinggal di Kampung Kuala lagi. Beliau merupakan diantara orang-orang penting dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong kenduri kahwin dan sebagainya.

Seluruh sanak saudara dan rakan-rakan serta masyarakat setempat merasakan pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan dalam masyarakat di sini. Namun begitu, pengganti kepada beliau tetap meneruskan tradisi allahyarham sepertimana ketika beliau masih bergiat dalam masyarakat. Anakanda beliau yang dikenali sebagai Bang Mat mengambil alih tugas allahyarham dan Bang Mat juga tidak tumpah seperti bapanya kerana sifat rajin dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan aktiviti bergotong royong.

dbSik dan seluruh masyarakat Kampung Kuala (Beris Jaya) termasuk Bang Yas, Bang Wang, Hamdan, Bang Ad, Pak Long Dolah, Pak Su Li... mengucapkan takziah kepada semua kaum keluarga allahyarham dan sesungguhnya yang pergi tak kan kembali dan kita yang masih hidup harus mencari bekal sebelum kita pula dijemput Illahi...

Al Fatihah buat allahyarham Pak Njang Bakar.


p/s : Majlis bacaan tahlil selama 3 malam diadakan dirumah allahyarham.

Sunday, January 3, 2010

PERLETAKAN JAWATAN AJK PEMUDA UMNO BAHAGIAN SIK

Salam untuk semua.

Saya telah pun mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sik serta semua jawatan-jawatan yang dilantik. Selain itu, pengumuman tersebut juga mengambil kira perletakan jawatan saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Kampung Kuala Sungai Batang.

Perletakan semua jawatan tersebut adalah disebabkan wujudnya kesangsian dan beza pandangan di antara saya dengan kepimpinan pemuda bahagian. Terdapat keputusan-keputusan yang dibuat terlalu tidak menyenangkan hati saya dan secara logiknya, ia juga tidak dapat diterima oleh pihak lain.

Walau bagaimana pun, saya masih dengan keahlian kepada parti dan saya bukan keluar dari parti. Saya akan cuba membantu parti biarpun saya tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti.

Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kerana tindakan pengunduran saya ini kepada semua pihak termasuk lah kepada perwakilan pemuda cawangan yang telah memberi sokongan kepada saya dengan memberi undi sehingga saya menang pada pemilihan Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Sik yang lalu.

Terima Kasih untuk semuanya.

SELAMAT TAHUN BARU ~ 2010

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Selamat Tahun Baru sebagai ucapan sulung walau pun sudah 3 hari kita berada di tahun 2010 ini. 2009 baru saja meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan suka dan duka. Adalah diharapkan dengan azam dan tekad yang baru serta berbekalkan pengalaman yang lalu, tahun baru 2010 ini akan mengubah kehidupan kita agar lebih baik dari apa yang kita ada hari ini.

Sempena tahun baru ini juga, blog dbSik ini diwujudkan sebagai memenuhi keperluan semasa sepertimana yang diinginkan oleh masyarakat hari ini. Walaupun dbSik ini tidak mempunyai pengalaman dalam arena blog seperti ini, dbSik akan cuba menyesuaikan diri seperti blogger yang lainnya.

dbSik juga mengalu-alukan sesiapa saja supaya dapat membantu dbSik dalam mengharungi pengalaman berblog ini.

Sekian, terima kasih.